Terdapat
ramai usahawan di serata dunia dan di Malaysia khususnya.
Ushawan
ditafsirkan sebagai orang yang menanggung risiko, Richard Cantillon (1755).
Usahawan juga ialah individu yang optimistic dan komited yang unik, usahawan
bekerja dengan kreatif untuk mewujudkan sumber-sumber baru atau memberikan yang
lama satu kapasiti baru, yang semua itu bagi tujuan mencipta kekayaan.
Dalam
ruangan ini saya ingin berkongsi tentang tokoh usahawan yang saya kagumi dan
antara usahawan yang telah berjaya di Malaysia.
Usahawan-usahawan
tersebut ialah:
Dato Aliff Syukri
Puan Faridah Zakaria
Datuk Haji Habib Mohamed
Puan Rozita Ibrahim
Sebab-sebab
saya memilih usahawan tersebut sebagai tokoh usahawan pilihan saya adalah
kerana saya mengagumi cirri-ciri kompetensi seorang usahawan yang terdapat pada
usahawan tersebut. Sifat kompetensi yang dimiliki oleh usahawan tersebut ialah
tidak mudah berputus asa, cekal, bersemangat tinggi, dan kreatif dalam mencipta
produk baru yang belum terdapat di pasaran.
Terlajakkk Laris… Pernahkah anda mendengarnya di mana-mana?
Menggunakan
tagline ‘Terlajak Laris’ sebagai salah satu strategi pemasaran, beliau memang
boleh dianggap benar-benar berjaya. Tagline yang mudah dan ringkas itu
seakan-akan menjadi satu fenomena yang kini meniti di bibir segenap lapisan
masyarakat tanpa mengira peringkat usia. Siapakah gerangan pencetus fenomena
itu? Beliau ialah jutawan muda, Dato’ Aliff Syukri bin Kamarzaman. Anak ketiga
kepada pengasas Sendayu Tinggi itu mengakui menerajui perniagaan yang
didominasi wanita bukan satu perjalanan mudah. Masalah dari segi modal dan
kesukaran mencari kepercayaan daripada orang lain kadangkala melemahkan
semangat beliau. Namun, mengingatkan asal-usul dan kesusahan yang dihadapi
sejak kecil, menjadikan beliau untuk terus kuat berniaga. Kesusahan itu menjadikan
beliau mempunyai lebih banyak pengalaman dan pengalaman itu beliau jadikan
didikan untuk menerajui syarikatnya kini.
Penglibatan
beliau dalam dunia perniagaan bertunas sejak kecil lagi. Bermula dengan
berniaga secara kecil-kecilan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan kini.
Hadir dalam keluarga yang tidak mewah membuatkan beliau menghargai setiap sen
yang dimiliki. Beliau mula berniaga sejak berusia tujuh tahun lagi sewaktu
tinggal bersama neneknya di Sabak Bernam, Selangor. Semangatnya hadir untuk berniaga
apabila melihat rakan sekolahnya membawa wang saku lebih 50 sen manakala beliau
hanya 20 sen. Melihatkan di sekeliling rumah neneknya terdapat pokok mempelam
dan jambu tumbuh subur, beliau tanpa meminta pertolongan, memanjat pokok
tersebut dan hasilnya dijadikan jeruk untuk dijual di sekolah.
Jika
budak lain pergi ke sekolah hanya membawa satu beg sekolah untuk mengisi buku,
namun untuk beliau, pasti akan ada satu lagi beg tambahan untuk memuatkan jeruk
yang dihasilkannya untuk dijual pada harga antara 10 hingga 20 sen. Perniagaan
kecil-kecilan itu dilihat sangat berkesan lantas memberi keyakinan kepada
beliau untuk melakukannya hingga ke peringkat sekolah menengah dengan menjual
pelbagai jenis kerongsang dan juga tudung serta barangan kosmetik. Habis zaman
persekolahan, beliau mula menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah ke
rumah menjual jamu dan pelbagai jenis produk kecantikan jenama terkenal.
Bukan
itu sahaja, pada waktu tengah hari pula, beliau akan mengetuk pintu pejabat
untuk menjual. Walaupun ada kalanya terasa segan kerana pelanggan tidak mahu
mendengar penjelasan yang diberikan, ianya menjadi titik permulaan untuk beliau
serius berniaga. Baginya, malu itu perkara kedua. Prinsipnya mudah, bukan
kerana modal kita berjaya tetapi usaha dan kesungguhan paling penting. Selepas
berhempas pulas berniaga dari rumah ke rumah, bermodalkan wang simpanan yang
dikumpul, beliau mula menyewa sebuah kiosk di pusat beli-belah di Subang Jaya,
Selangor.
Bergelar
suami dan bapa pada usia muda serta tinggal di kota raya membuatkan beliau
perlu mencari jalan menambah pendapatan. Setiap hujung minggu, beliau akan
membuat bengkel kecantikan dan kesihatan di tempat-tempat kerja sama ada swasta
mahupun kerajaan. Sambil menyelam minum air, itulah yang beliau amalkan apabila
beliau turut menjual produk kecantikan dan kesihatan pada masa bengkel
dijalankan. Harga yang dikenakan juga tidaklah mahal, antara RM5 hingga RM10
sahaja. Melalui bengkel yang dijalankan, beliau mampu menjana pendapatan
sehingga RM3000 sebulan. Selepas gigih menjual produk daripada pelbagai jenama,
beliau mula merasakan lebih baik beliau menjual produknya sendiri. Maka, beliau
mengambil langkah drastik untuk mengeluarkan produk ciptaan sendiri. Semua
simpanan yang ada, beliau gunakan sepenuhnya untuk menghasilkan produk
jenamanya sendiri. Walaupun sedar risiko muflis itu ada, namun selepas membuat
kajian selama beberapa bulan, syarikatnya D’ Herbs Healthy Sdn. Bhd. berjaya
mengeluarkan gincu kolagen pertama di Malaysia.
Pada
peringkat awal pengenalan jenama D’ Herbs ini, pelbagai kerja dilakukannya
sendirian termasuk mengelilingi Malaysia untuk tujuan promosi. Pelbagai tugas
dilakukannya serentak termasuk menjadi pemandu dan ejen pemasaran. Beliau juga
tidak malu untuk mempromosikan jenamanya di pasar malam kerana beliau percaya
produknya adalah produk mampu milik segenap lapisan masyarakat. Syarikat yang
ditubuhkan pada September 2010 ini pada mulanya hanya beroperasi di lot kedai
di tingkat dua dengan hanya seorang pekerja sahaja. Namun kini, syarikat itu
sudah berpindah ke bangunan empat tingkat dengan seramai 15 orang pekerja serta
telah menghasilkan hampir 30 rangkaian produk baru. Malah, produk-produk beliau
dihasilkan di kilangnya sendiri iaitu Aliff Herbs Manufacturing Sdn Bhd.
Menggunakan
selebriti terkenal seperti Bienda dan Watie Elite sebagai jurucakap produknya,
menjadikan produknya menjadi tarikan pelanggan bukan sahaja di Malaysia malah
Singapura dan juga Brunei. Istimewanya lagi mengenai produk beliau adalah
bahan-bahannya 100 peratus berasaskan herba dan juga murah berbanding produk
kesihatan lain di pasaran. Produk D’ Herbs boleh didapati dengan harga serendah
RM15 di setiap lokasi tumpuan ramai termasuk pasar malam, pasar tani, farmasi,
kedai jamu, dan pusat jualan D’ Herbs sendiri.
Bapa
kepada tiga orang cahaya mata ini mempunyai misi yang jelas dalam hidupnya.
Menjadikan empayar kosmetik Avon sebagai tanda aras, beliau berharap dapat
mengembangkan jenama D’ Herbs sebagai satu jenama global. Di samping itu,
beliau turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan 500 jenis produk lagi pada
masa akan datang bagi memberi lebih pilihan kepada para pengguna.
Tidak
dapat dinafikan bahawa kegagalan adalah satu perkara yang sangat pahit untuk
ditelan. Walaupun sukar untuk kita melaluinya, namun jika kita melihat
kegagalan tersebut daripada sudut yang positif, pastinya kegagalan itu akan
menjadi titik pengubah kepada kehidupan kita. Begitulah yang dilalui oleh
Pengarah Urusan Fareeda House of Scarf, Puan Faridah Zakaria. Beliau menganggap
kegagalan dalam perniagaannya sebelum ini sebagai cabaran dan dugaan yang
mencorakkan kehidupannya pada masa depan. Semangat beliau tidak pernah luntur
untuk bangkit semula mencapai kejayaan. Keazaman beliau untuk mengubah nasib
keluarga menjadikan beliau sentiasa berusaha dan tidak pernah kenal erti putus
asa, dan hasilnya, lahirlah Fareeda House of Scarf yang menjadi dambaan wanita
berhijab pada masa kini.
Wanita
kelahiran Singapura namun dibesarkan di Pulau Pinang ini pada mulanya
berjinak-jinak dalam bidang kecantikan dan pernah membuka sebuah salun
kecantikan di Pulau Pinang.
Namun,
perniagaan tersebut kurang mendapat sambutan dan hanya mampu bertahan selama
setahun lebih sahaja. Selepas kegagalan perniagaan salun kecantikannya itu,
beliau tidak mempunyai sebarang pekerjaan lain dan ini memberi tekanan kepada
beliau kerana kehidupannya benar-benar susah ketika itu. Memikirkan yang beliau
perlu menyara keluarga, beliau tidak mampu untuk duduk berdiam diri tanpa pekerjaan
lagi. Beliau perlu membuat sesuatu untuk mengubah nasib keluarganya, dan ketika
itulah beliau mula berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual tudung Dubai
kepada rakan-rakan terdekat.
Beliau
kemudiannya mendapat ilham untuk menghasilkan sendiri tudung untuk dipakai
beliau berikutan berasa susah hati kerana tidak menjumpai tudung yang
disukainya. Bermula dari situlah, bermulanya rekaan tudung Fareeda di mana
rekaan dan potongan tudung tersebut adalah hasil daripada ilham beliau sendiri.
Beliau telah membuktikan jika kita berani mencuba, sesuatu perkara itu tidaklah
mustahil untuk dicapai. Apabila beliau mula memakai tudung buatannya sendiri,
rakan-rakan dan saudara terdekat beliau mula menunjukkan minat dengan gaya
tudung yang dihasilkan oleh beliau, dan kemudiannya mula membeli tudung
daripada beliau. Akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk membuka perniagaan
menjual tudung rekaannya bermula di rumah. Ketika itu, beliau hanya mempunyai
dua mesin jahit iaitu satu untuk jahitan tepi dan satu untuk jahitan biasa.
Dengan keupayaan dua buah mesin jahit itulah, beliau bertungkus-lumus untuk
menyediakan tempahan tudung-tudung yang tidak putus-putus daripada
pelanggannya.
Beliau
menerima beratus-ratus tempahan dalam sehari dan tempahan tersebut perlu disiapkan
dalam kadar yang segera. Masa yang dimiliki oleh beliau sangat terbatas ekoran
perlu menjaga anak, mengurus rumahtangga, menjahit tudung dan juga melayan
pelanggan dalam satu masa yang sama. Beliau hanya mampu untuk tidur dua hingga
ke tiga jam sahaja sehari dan ini bukanlah alasan untuk beliau untuk patah
semangat, malah ianya mendidik beliau untuk menjadi lebih berdisiplin dan
menghargai masa. Beliau berasa sangat bertuah kerana memiliki seorang suami
yang sangat memahami dan sentiasa memberi semangat juga dorongan kepadanya
selama ini untuk terus maju ke hadapan bersama Fareeda. Malah suaminya juga
banyak memberi idea dalam penghasilan rekaan tudung Fareeda.
Kini
Fareeda House of Scarf mempunyai lebih daripada 100 pekerja dan 300 pengedar
yang berjaya menjual hampir 20000 helai tudung setiap bulan terutamanya di
cawangan Fareeda di Bangi, Selangor. Pelanggan sanggup beratur panjang demi
mendapatkan tudung Fareeda lebih-lebih lagi jika edisi rekaan terbaru Fareeda
berada di pasaran kerana setiap rekaan yang dihasilkan adalah terhad demi
menjaga kualiti Fareeda. Walaupun harga tudung Fareeda dilihat agak mahal,
dengan harga permulaan bermula pada sekitar harga RM150 sehelai, pelanggan
tegarnya tetap tidak berganjak ke jenama tudung lain berikutan kain yang
digunakan untuk menghasilkan tudung Fareeda adalah daripada kain yang
berkualiti tinggi dari luar negara. Hal ini bukan sahaja mampu memikat hati
pelanggan, malah memastikan Fareeda dapat bersaing dengan syarikat lain di
Malaysia.
Jika
kita lihat di Malaysia, perniagaan tudung atau pakaian tidaklah memberi
keuntungan yang begitu besar kerana industri fesyen di negara kita sangat luas.
Kita boleh mendapatkan rekaan baju yang sama di mana-mana sahaja kita pergi.
Ini belum lagi dicampur dengan isu ‘ciplak’ yang menjadi isu besar bagi Fareeda
suatu ketika dahulu.
Berikutan isu itu, jenama Fareeda telah berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia untuk kategori pakaian. Oleh itu, meniru atau menciplak produk dengan paten dan jenama Fareeda adalah menjadi satu kesalahan dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pesalah. Perbezaan antara Fareeda dengan jenama tudung yang lain adalah kualiti dan gaya yang menarik di dalam setiap penghasilan tudung Fareeda. Berpegang pada cita-cita ingin menjadikan wanita bertudung kelihatan anggun dan mengetengahkan lagi sifat kewanitaan di dalam diri mereka, Faridah berazam akan terus berusaha menghasilkan rekaan-rekaan baru yang segar dan unik agar Fareeda terus menjadi penyeri kepada wanita-wanita berhijab di luar sana.
Berikutan isu itu, jenama Fareeda telah berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia untuk kategori pakaian. Oleh itu, meniru atau menciplak produk dengan paten dan jenama Fareeda adalah menjadi satu kesalahan dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pesalah. Perbezaan antara Fareeda dengan jenama tudung yang lain adalah kualiti dan gaya yang menarik di dalam setiap penghasilan tudung Fareeda. Berpegang pada cita-cita ingin menjadikan wanita bertudung kelihatan anggun dan mengetengahkan lagi sifat kewanitaan di dalam diri mereka, Faridah berazam akan terus berusaha menghasilkan rekaan-rekaan baru yang segar dan unik agar Fareeda terus menjadi penyeri kepada wanita-wanita berhijab di luar sana.
Barang
kemas dan wanita amat sinonim bukan? Jika diberi pilihan, pasti rambang mata
dibuatnya hingga mampu menghabiskan masa berjam-jam hanya untuk memilih barang
kemas yang sesuai untuk diri sendiri. Terdapat banyak nama-nama besar dalam
industri barangan kemas di Malaysia, dan antaranya adalah Habib Jewel. Siapa
yang tidak mengenali Habib Jewel? Namanya sahaja sudah cukup gah terkenal
dengan penjualan berlian sebagai perhiasan diri. Produknya bukan sahaja dilihat
setanding dengan produk luar negara, malah nampak mewah dan berkualiti.
Reputasinya
sangat tinggi di kalangan peminat berlian lebih-lebih lagi apabila menjadi
syarikat barang kemas berlian pertama di Malaysia yang tersenarai dalam Bursa
Malaysia. Habib Jewel pada awalnya bermula dengan nama M.A Habib Mohamed yang
diasaskan pada tahun 1958 oleh Datuk Haji Habib Mohamed di Pitt Street, Pulau
Pinang. Bermula dengan hanya sebagai satu perniagaan keluarga, beliau telah
berjaya memikat hati para pelanggannya dengan sifatnya yang gemar mendahulukan
kehendak pelanggan. Pembabitan beliau dalam bidang perniagaan barang kemas
bermula secara kecil-kecilan sahaja.
Pada
mulanya, beliau menyara keluarga hanya dengan bekerja dengan orang di kedai
emas. Lama-kelamaan, beliau mula terfikir untuk memiliki perniagaan sendiri
pula. Beliau memilih perniagaan barangan kemas kerana ianya mudah dan tidak
perlu membanting tulang di tengah panas di samping nilai emas itu sendiri yang
susah untuk mengalami susut nilai. Dengan bermodalkan RM3800, beliau memulakan
perniagaan kedai emasnya sendiri. Beliau mengambil barang kemas daripada kedai
pajak dan kemudiannya membersihkan barang tersebut hingga menjadi cantik lalu
dijual kepada kedai emas yang lain, sama seperti pemborong.
Bertitik-tolak
daripada itulah, perniagaan kecil-kecilannya yang sekadar untuk menyara hidup
mula berkembang luas.
Ketika
itu, beliau tidak mempunyai sebarang idola, dan hanya memikirkan untuk menjual
barang kemas pada harga yang berpatutan sahaja mengikut aturan kehendaknya.
Apabila perniagaannya dilihat semakin memberi keuntungan, beliau menambah dua
lagi cawangan pada 1970-an, namun kedua-duanya kurang memberangsangkan.
Disebabkan itu, kedua-dua cawangan tersebut ditutup dan beliau kemudiannya
membuka cawangan baru di Semua House, Kuala Lumpur pada 1987.
Ketika
itu, beliau memberanikan diri untuk menghasilkan sendiri produk barangan
kemasnya. Beliau mengambil inspirasi daripada keinginan wanita yang sukakan
sesuatu bercorak feminin dan floral tetapi berkualiti.
Legasi
perusahaan Habib diteruskan oleh anak lelaki tunggalnya iaitu Datuk Meer Sadik
yang merupakan graduan lepasan jurusan perniagaan. Selepas sahaja anaknya tamat
belajar, beliau terus membawa anaknya untuk bekerja di bilik pameran Habib
secara sambilan. Anaknya ketika itu amat meminati bidang pengiklanan dan telah
mendapat banyak tawaran untuk menjadi model iklan.
Disebabkan
minat anaknya itu, Habib mula memasarkan iklannya secara agresif di televisyen
dan juga radio. Ketika itu, dapat diperhatikan yang semakin ramai pelanggan
datang mengunjungi bilik pameran. Meer amat menggalakkan pengiklanan di media
massa yang mana perkara itu tidak pernah dilakukan oleh bapanya sebelum ini.
Sejak itu, Habib mula menyedari bahawa kombinasi didikan moden yang diterima
anaknya ketika menuntut di universiti dan cara perniagaan tradisional yang
diamalkannya selama ini menjadi kombinasi yang bermanfaat dalam membangunkan
Habib Jewel.
Namun,
untuk mengekalkan Habib Jewel bukan satu perkara yang mudah. Kos selalu menjadi
masalah utama dalam setiap perniagaan. Perkara tersebut juga terpaksa dihadapi
Habib dan beliau berusaha untuk menampung kos tersebut dengan melakukan
pelbagai pekerjaan lain seperti membuka kedai bunga dan menjual serbuk kopi.
Datuk
Meer Sadik terus menjadi harapan tunggal bapanya untuk menerajui Habib Jewel
ekoran anaknya yang lain kesemuanya perempuan dan ada yang mengikut suami ke
luar negara. Di samping itu, Meer juga merupakan ahli gemologi terlatih
daripada Gemological Institute of America dan juga pemegang ijazah pengurusan
perniagaan, dan ini menjadi asas kukuh untuk beliau memajukan Habib Jewel.
Meer
yang kini memegang posisi Pengarah Urusan dibantu oleh isteri tercintanya,
Datin Zarida Noordin telah melakukan banyak perubahan terhadap Habib Jewel.
Mereka mempergiatkan promosi sama ada di media massa dan cetak hingga mencecah
ratusan ribu ringgit. Jika dilihat pada mata kasar, promosi sebegitu agak
membazir, namun jika dilihat untuk jangka masa panjang, ianya merupakan satu
strategi yang cukup berbaloi.
Kerja
keras mereka berdua tidak terhenti setakat itu sahaja, mereka juga giat dalam
menambah jumlah cawangan Habib Jewel di seluruh Malaysia demi memenuhi
permintaan pelanggan. Dengan usaha yang tiada henti dan berterusan itu
melayakkan Habib Jewel memenangi beberapa anugerah berprestij seperti ‘Reader’s
Digest Trusted Brand Award’ untuk beberapa tahun.
Kejayaan
yang dikecapi oleh Habib Jewel dalam bidang perniagaan barangan kemas boleh
dijadikan motivasi untuk usahawan kecil lain yang baru bertapak untuk terus
maju ke hadapan. Kunci untuk setiap kejayaan adalah kerja keras dan kejujuran
dalam setiap perbuatan yang dilakukan. Walaupun sudah stabil dan mempunyai nama
besar di Malaysia, Habib Jewel tetap seperti ketika di awal penubuhannya
dahulu, bukan sekadar menjual, tetapi memberikan rundingan terbaik kepada
pelanggan.
Hal
inilah yang membuatkan pelanggan setia kepada mereka kerana yakin dengan
kualiti dan perkhidmatan yang diberikan oleh mereka. Tambah manis lagi, Habib
Jewel telah menjadi syarikat barangan kemas pertama di Malaysia yang tersenarai
di papan kedua Bursa Malaysia, dan pada 2002, syarikat induknya, Habib Corp Bhd
berpindah pula ke papan utama.
Sesungguhnya,
menjadi seorang insan yang bergelar wanita bukanlah penghalang untuk seseorang
itu berjaya. Itulah yang dibuktikan oleh pengasas produk kosmetik Sendayu
Tinggi, Puan Rozita Ibrahim. Berpegang kepada pepatah ‘hina besi kerana karat,
hina manusia kerana melarat’, menjadikan wanita cekal ini mencabar dirinya
untuk bekerja lebih kuat lagi bagi memperoleh pendapatan yang selesa. Sebelum
bergelar usahawan yang berjaya dengan mempunyai empayar perniagaan yang mampu
dibanggakan, beliau telah menempuh pelbagai peristiwa duka yang mewarnai
perjalanan hidupnya.
Beliau
tidak seperti wanita lain yang hanya mampu berserah kepada takdir dan nasib,
tetapi bangkit melawan kemiskinan yang dihadapinya sehingga bergelar usahawan
wanita berjaya. Sejarah hidupnya tidak seindah wanita lain. Pernah menjadi
penoreh getah dan hidup dalam serba kekurangan sehingga terpaksa memberi
bayinya air sirap bagi menggantikan susu menjadikan beliau lebih kental untuk
meneruskan hidupnya. Kepayahan yang dihadapinya pernah meragut nyawa anaknya
ekoran tidak mampu untuk mendapatkan rawatan terbaik.
Beliau
menamatkan zaman gadisnya pada usia yang terlalu muda dengan lelaki pilihan
keluarga, dan melalui perceraian yang menyakitkan. Dalam usia yang masih muda
dan sudah berkahwin, membuatkan beliau tidak berpeluang untuk memikirkan soal
kerjaya. Hidupnya banyak dihabiskan untuk keluarga di samping membantu suami
menoreh, membekalkan makanan, dan menjalankan perniagaan runcit. Keputusannya
untuk berpisah dengan lelaki pilihan keluarganya menyebabkan dia dipulaukan
oleh keluarga tercinta. Lantas, dia mengambil keputusan untuk membawa diri ke ibu
kota. Di sana, beliau membuat pelbagai jenis pekerjaan bagi menampung diri dan
anak-anaknya.
Beliau
bukan sahaja pernah bekerja sebagai operator pengeluaran, malah pernah menjadi
penyambut tetamu dan pekerja syarikat jualan langsung. Di situlah beliau belajar
untuk menjadi seorang wanita kental yang tidak bergantung harap kepada sesiapa.
Kesusahan dan kepayahan dijadikan pembakar semangat untuk terus melangkah ke
hadapan. Setelah mencuba pelbagai jenis pekerjaan, beliau bercadang untuk
memulakan perniagaan. Barang kemas terpaksa digadaikan untuk dijadikan sebagai
modal permulaan. Akhirnya, dengan bermodalkan RM400, beliau memulakan
perniagaan dengan menghasilkan produk berformulasikan herba. Beliau sanggup
menjalankan ujikaji produk terhadap dirinya sendiri dengan menggemukkan
badannya sendiri sebanyak tiga kali dan akhirnya berjaya menurunkan berat
badannnya semula.
Antara
sebab utama mengapa Rozita memilih herba sebagai bahan utama di dalam produknya
adalah disebabkan alam semulajadi merupakan benda yang paling hampir dengan
dirinya sejak dari kecil lagi. Beliau juga mengakui pernah mengubati anak
keduanya yang sakit dan lumpuh dengan hanya menggunakan tumbuhan hutan kerana
tidak mampu untuk mendapatkan rawatan yang lebih sempurna. Setelah menjalankan
tiga kali ujikaji dan hasilnya menampakkan kesan yang positif, beliau mula
menjual produknya dari rumah ke rumah.
Sambutan
menggalakkan yang diterima terhadap produknya mendorongnya untuk menubuhkan
Sendayu Tinggi Enterprise pada awal tahun 2000. Beliau menyewa sebuah kedai
kecil di Plaza Majlis Perbandaran Klang dan perniagaannya semakin berkembang
seperti yang diharapkan. Sambutan terhadap produk pelangsingan badannya amat
menggalakkan ekoran permintaan yang tinggi daripada pengguna Malaysia yang
gemar menggunakan produk warisan nenek moyang berasaskan herba.
Rozita
yang amat mengagumi tokoh usahawan Lim Goh Tong dan Boon Siew Honda tidak
menjadikan isu tidak berpelajaran sebagai alasan untuk tidak berjaya. Setelah
bertahun mengaharungi pahit getir dalam dunia perniagaan, akhirnya beliau
memahat nama sebagai salah seorang saudagar produk kecantikan, Sendayu Tinggi.
Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk meluaskan empayar perniagaannya
dengan menubuhkan Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. dan mempunyai sembilan anak
syarikat termasuk Sendayu Tinggi Corporation (M) Sdn. Bhd., Sendayu Tinggi Body
& Skincare (M) Sdn. Bhd. dan Sendayu Tinggi Cosmetics & Fragrances (M)
Sdn. Bhd. Jumlah pengedar beliau kini sudah melebihi dari 2000 orang termasuk
di Brunei dan Singapura. Beliau bukan sahaja menjual produk kecantikan malah
gemar berkongsi pelbagai petua kecantikan dalam membina keyakinan diri untuk
wanita.
Bagi
beliau, anak-anak merupakan iltizam untuk beliau terus berjuang dalam
meningkatkan pencapaian dirinya dan juga perniagaan. Pernah melalui pelbagai
pengalaman buruk dalam hidup dan melakukan pelbagai jenis pekerjaan demi
mencari nafkah untuk anak-anak membuatkan beliau untuk terus melangkah ke
hadapan tanpa ingin menoleh ke belakang lagi. Janjinya kepada anak-anak adalah
untuk menjadi ibu yang baik kerana tidak mahu anak-anaknya mengikut jejak
langkah dirinya yang kurang mendapat limpahan kasih sayang. Namun, disebabkan
pengalaman itulah, beliau sedar bahawa kasih sayanglah yang menjadi kunci
kebahagiaan untuk selama-lamanya. Selepas berjaya menembusi pasaran produk
herba tradisional di Malaysia, beliau seterusnya bercita-cita untuk membentuk
usahawan wanita daripada golongan yang kurang bernasib baik dari segi peribadi
mahupun pencapaian karier.
Hal
ini mungkin tidak mustahil untuk dilakukan oleh beliau kerana kebanyakan
jaringan Sendayu Tinggi dibimbing melalui roadshow yang dijalankan oleh beliau
dalam bentuk motivasi. Di situlah beliau sentiasa mengingatkan para pengedar
produknya agar tidak lupa diri dan sentiasa membantu orang lain yang lebih
memerlukan. Jika kita lihat diri kita susah hari ini, kita perlu ingat ada yang
lebih susah daripada kita dan jadikan kesusahan itu titik permulaan untuk
kejayaan di masa hadapan. Beliau juga menganggap kecantikan luaran sahaja tidak
mencukupi dan tidak menjamin apa-apa, tetapi jika kecantikan luaran itu
disertakan dengan kecantikan dalaman yakni budi pekerti yang mulia, diri
seorang wanita itu akan menjadi lebih sempurna.
tokoh-tokoh usahawan tu mmg sangat hebat. kita patut jadikan mereka sebagai idola untuk berjaya dalam dunia perniagaan.
ReplyDeletethanx for sharing...
www.sayapgold.blogspot.com