WELCOME TO MY PAGE!

Friday, 13 March 2015

TOKOH USAHAWAN BERJAYA

Terdapat ramai usahawan di serata dunia dan di Malaysia khususnya.

Ushawan ditafsirkan sebagai orang yang menanggung risiko, Richard Cantillon (1755). 
Usahawan juga ialah individu yang optimistic dan komited yang unik, usahawan bekerja dengan kreatif untuk mewujudkan sumber-sumber baru atau memberikan yang lama satu kapasiti baru, yang semua itu bagi tujuan mencipta kekayaan.

Dalam ruangan ini saya ingin berkongsi tentang tokoh usahawan yang saya kagumi dan antara usahawan yang telah berjaya di Malaysia.

Usahawan-usahawan tersebut ialah:
       Dato Aliff Syukri
       Puan Faridah Zakaria
       Datuk Haji Habib Mohamed
       Puan Rozita Ibrahim

Sebab-sebab saya memilih usahawan tersebut sebagai tokoh usahawan pilihan saya adalah kerana saya mengagumi cirri-ciri kompetensi seorang usahawan yang terdapat pada usahawan tersebut. Sifat kompetensi yang dimiliki oleh usahawan tersebut ialah tidak mudah berputus asa, cekal, bersemangat tinggi, dan kreatif dalam mencipta produk baru yang belum terdapat di pasaran.

1) Dato Aliff Syukri (D’ Herbs)




Terlajakkk Laris… Pernahkah anda mendengarnya di mana-mana?
Menggunakan tagline ‘Terlajak Laris’ sebagai salah satu strategi pemasaran, beliau memang boleh dianggap benar-benar berjaya. Tagline yang mudah dan ringkas itu seakan-akan menjadi satu fenomena yang kini meniti di bibir segenap lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia. Siapakah gerangan pencetus fenomena itu? Beliau ialah jutawan muda, Dato’ Aliff Syukri bin Kamarzaman. Anak ketiga kepada pengasas Sendayu Tinggi itu mengakui menerajui perniagaan yang didominasi wanita bukan satu perjalanan mudah. Masalah dari segi modal dan kesukaran mencari kepercayaan daripada orang lain kadangkala melemahkan semangat beliau. Namun, mengingatkan asal-usul dan kesusahan yang dihadapi sejak kecil, menjadikan beliau untuk terus kuat berniaga. Kesusahan itu menjadikan beliau mempunyai lebih banyak pengalaman dan pengalaman itu beliau jadikan didikan untuk menerajui syarikatnya kini.

Penglibatan beliau dalam dunia perniagaan bertunas sejak kecil lagi. Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan kini. Hadir dalam keluarga yang tidak mewah membuatkan beliau menghargai setiap sen yang dimiliki. Beliau mula berniaga sejak berusia tujuh tahun lagi sewaktu tinggal bersama neneknya di Sabak Bernam, Selangor. Semangatnya hadir untuk berniaga apabila melihat rakan sekolahnya membawa wang saku lebih 50 sen manakala beliau hanya 20 sen. Melihatkan di sekeliling rumah neneknya terdapat pokok mempelam dan jambu tumbuh subur, beliau tanpa meminta pertolongan, memanjat pokok tersebut dan hasilnya dijadikan jeruk untuk dijual di sekolah.

Jika budak lain pergi ke sekolah hanya membawa satu beg sekolah untuk mengisi buku, namun untuk beliau, pasti akan ada satu lagi beg tambahan untuk memuatkan jeruk yang dihasilkannya untuk dijual pada harga antara 10 hingga 20 sen. Perniagaan kecil-kecilan itu dilihat sangat berkesan lantas memberi keyakinan kepada beliau untuk melakukannya hingga ke peringkat sekolah menengah dengan menjual pelbagai jenis kerongsang dan juga tudung serta barangan kosmetik. Habis zaman persekolahan, beliau mula menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah ke rumah menjual jamu dan pelbagai jenis produk kecantikan jenama terkenal.

Bukan itu sahaja, pada waktu tengah hari pula, beliau akan mengetuk pintu pejabat untuk menjual. Walaupun ada kalanya terasa segan kerana pelanggan tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan, ianya menjadi titik permulaan untuk beliau serius berniaga. Baginya, malu itu perkara kedua. Prinsipnya mudah, bukan kerana modal kita berjaya tetapi usaha dan kesungguhan paling penting. Selepas berhempas pulas berniaga dari rumah ke rumah, bermodalkan wang simpanan yang dikumpul, beliau mula menyewa sebuah kiosk di pusat beli-belah di Subang Jaya, Selangor.

Bergelar suami dan bapa pada usia muda serta tinggal di kota raya membuatkan beliau perlu mencari jalan menambah pendapatan. Setiap hujung minggu, beliau akan membuat bengkel kecantikan dan kesihatan di tempat-tempat kerja sama ada swasta mahupun kerajaan. Sambil menyelam minum air, itulah yang beliau amalkan apabila beliau turut menjual produk kecantikan dan kesihatan pada masa bengkel dijalankan. Harga yang dikenakan juga tidaklah mahal, antara RM5 hingga RM10 sahaja. Melalui bengkel yang dijalankan, beliau mampu menjana pendapatan sehingga RM3000 sebulan. Selepas gigih menjual produk daripada pelbagai jenama, beliau mula merasakan lebih baik beliau menjual produknya sendiri. Maka, beliau mengambil langkah drastik untuk mengeluarkan produk ciptaan sendiri. Semua simpanan yang ada, beliau gunakan sepenuhnya untuk menghasilkan produk jenamanya sendiri. Walaupun sedar risiko muflis itu ada, namun selepas membuat kajian selama beberapa bulan, syarikatnya D’ Herbs Healthy Sdn. Bhd. berjaya mengeluarkan gincu kolagen pertama di Malaysia.

Pada peringkat awal pengenalan jenama D’ Herbs ini, pelbagai kerja dilakukannya sendirian termasuk mengelilingi Malaysia untuk tujuan promosi. Pelbagai tugas dilakukannya serentak termasuk menjadi pemandu dan ejen pemasaran. Beliau juga tidak malu untuk mempromosikan jenamanya di pasar malam kerana beliau percaya produknya adalah produk mampu milik segenap lapisan masyarakat. Syarikat yang ditubuhkan pada September 2010 ini pada mulanya hanya beroperasi di lot kedai di tingkat dua dengan hanya seorang pekerja sahaja. Namun kini, syarikat itu sudah berpindah ke bangunan empat tingkat dengan seramai 15 orang pekerja serta telah menghasilkan hampir 30 rangkaian produk baru. Malah, produk-produk beliau dihasilkan di kilangnya sendiri iaitu Aliff Herbs Manufacturing Sdn Bhd.

Menggunakan selebriti terkenal seperti Bienda dan Watie Elite sebagai jurucakap produknya, menjadikan produknya menjadi tarikan pelanggan bukan sahaja di Malaysia malah Singapura dan juga Brunei. Istimewanya lagi mengenai produk beliau adalah bahan-bahannya 100 peratus berasaskan herba dan juga murah berbanding produk kesihatan lain di pasaran. Produk D’ Herbs boleh didapati dengan harga serendah RM15 di setiap lokasi tumpuan ramai termasuk pasar malam, pasar tani, farmasi, kedai jamu, dan pusat jualan D’ Herbs sendiri.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata ini mempunyai misi yang jelas dalam hidupnya. Menjadikan empayar kosmetik Avon sebagai tanda aras, beliau berharap dapat mengembangkan jenama D’ Herbs sebagai satu jenama global. Di samping itu, beliau turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan 500 jenis produk lagi pada masa akan datang bagi memberi lebih pilihan kepada para pengguna.

2) Puan Faridah Zakaria (Fareeda House of Scarf)



Tidak dapat dinafikan bahawa kegagalan adalah satu perkara yang sangat pahit untuk ditelan. Walaupun sukar untuk kita melaluinya, namun jika kita melihat kegagalan tersebut daripada sudut yang positif, pastinya kegagalan itu akan menjadi titik pengubah kepada kehidupan kita. Begitulah yang dilalui oleh Pengarah Urusan Fareeda House of Scarf, Puan Faridah Zakaria. Beliau menganggap kegagalan dalam perniagaannya sebelum ini sebagai cabaran dan dugaan yang mencorakkan kehidupannya pada masa depan. Semangat beliau tidak pernah luntur untuk bangkit semula mencapai kejayaan. Keazaman beliau untuk mengubah nasib keluarga menjadikan beliau sentiasa berusaha dan tidak pernah kenal erti putus asa, dan hasilnya, lahirlah Fareeda House of Scarf yang menjadi dambaan wanita berhijab pada masa kini.

Wanita kelahiran Singapura namun dibesarkan di Pulau Pinang ini pada mulanya berjinak-jinak dalam bidang kecantikan dan pernah membuka sebuah salun kecantikan di Pulau Pinang.
Namun, perniagaan tersebut kurang mendapat sambutan dan hanya mampu bertahan selama setahun lebih sahaja. Selepas kegagalan perniagaan salun kecantikannya itu, beliau tidak mempunyai sebarang pekerjaan lain dan ini memberi tekanan kepada beliau kerana kehidupannya benar-benar susah ketika itu. Memikirkan yang beliau perlu menyara keluarga, beliau tidak mampu untuk duduk berdiam diri tanpa pekerjaan lagi. Beliau perlu membuat sesuatu untuk mengubah nasib keluarganya, dan ketika itulah beliau mula berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual tudung Dubai kepada rakan-rakan terdekat.

Beliau kemudiannya mendapat ilham untuk menghasilkan sendiri tudung untuk dipakai beliau berikutan berasa susah hati kerana tidak menjumpai tudung yang disukainya. Bermula dari situlah, bermulanya rekaan tudung Fareeda di mana rekaan dan potongan tudung tersebut adalah hasil daripada ilham beliau sendiri. Beliau telah membuktikan jika kita berani mencuba, sesuatu perkara itu tidaklah mustahil untuk dicapai. Apabila beliau mula memakai tudung buatannya sendiri, rakan-rakan dan saudara terdekat beliau mula menunjukkan minat dengan gaya tudung yang dihasilkan oleh beliau, dan kemudiannya mula membeli tudung daripada beliau. Akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk membuka perniagaan menjual tudung rekaannya bermula di rumah. Ketika itu, beliau hanya mempunyai dua mesin jahit iaitu satu untuk jahitan tepi dan satu untuk jahitan biasa. Dengan keupayaan dua buah mesin jahit itulah, beliau bertungkus-lumus untuk menyediakan tempahan tudung-tudung yang tidak putus-putus daripada pelanggannya.

Beliau menerima beratus-ratus tempahan dalam sehari dan tempahan tersebut perlu disiapkan dalam kadar yang segera. Masa yang dimiliki oleh beliau sangat terbatas ekoran perlu menjaga anak, mengurus rumahtangga, menjahit tudung dan juga melayan pelanggan dalam satu masa yang sama. Beliau hanya mampu untuk tidur dua hingga ke tiga jam sahaja sehari dan ini bukanlah alasan untuk beliau untuk patah semangat, malah ianya mendidik beliau untuk menjadi lebih berdisiplin dan menghargai masa. Beliau berasa sangat bertuah kerana memiliki seorang suami yang sangat memahami dan sentiasa memberi semangat juga dorongan kepadanya selama ini untuk terus maju ke hadapan bersama Fareeda. Malah suaminya juga banyak memberi idea dalam penghasilan rekaan tudung Fareeda.

Kini Fareeda House of Scarf mempunyai lebih daripada 100 pekerja dan 300 pengedar yang berjaya menjual hampir 20000 helai tudung setiap bulan terutamanya di cawangan Fareeda di Bangi, Selangor. Pelanggan sanggup beratur panjang demi mendapatkan tudung Fareeda lebih-lebih lagi jika edisi rekaan terbaru Fareeda berada di pasaran kerana setiap rekaan yang dihasilkan adalah terhad demi menjaga kualiti Fareeda. Walaupun harga tudung Fareeda dilihat agak mahal, dengan harga permulaan bermula pada sekitar harga RM150 sehelai, pelanggan tegarnya tetap tidak berganjak ke jenama tudung lain berikutan kain yang digunakan untuk menghasilkan tudung Fareeda adalah daripada kain yang berkualiti tinggi dari luar negara. Hal ini bukan sahaja mampu memikat hati pelanggan, malah memastikan Fareeda dapat bersaing dengan syarikat lain di Malaysia.
Jika kita lihat di Malaysia, perniagaan tudung atau pakaian tidaklah memberi keuntungan yang begitu besar kerana industri fesyen di negara kita sangat luas. Kita boleh mendapatkan rekaan baju yang sama di mana-mana sahaja kita pergi. Ini belum lagi dicampur dengan isu ‘ciplak’ yang menjadi isu besar bagi Fareeda suatu ketika dahulu. 

Berikutan isu itu, jenama Fareeda telah berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia untuk kategori pakaian. Oleh itu, meniru atau menciplak produk dengan paten dan jenama Fareeda adalah menjadi satu kesalahan dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pesalah. Perbezaan antara Fareeda dengan jenama tudung yang lain adalah kualiti dan gaya yang menarik di dalam setiap penghasilan tudung Fareeda. Berpegang pada cita-cita ingin menjadikan wanita bertudung kelihatan anggun dan mengetengahkan lagi sifat kewanitaan di dalam diri mereka, Faridah berazam akan terus berusaha menghasilkan rekaan-rekaan baru yang segar dan unik agar Fareeda terus menjadi penyeri kepada wanita-wanita berhijab di luar sana.

3) Datuk Haji Habib Mohamed (Habib Jewel)



Barang kemas dan wanita amat sinonim bukan? Jika diberi pilihan, pasti rambang mata dibuatnya hingga mampu menghabiskan masa berjam-jam hanya untuk memilih barang kemas yang sesuai untuk diri sendiri. Terdapat banyak nama-nama besar dalam industri barangan kemas di Malaysia, dan antaranya adalah Habib Jewel. Siapa yang tidak mengenali Habib Jewel? Namanya sahaja sudah cukup gah terkenal dengan penjualan berlian sebagai perhiasan diri. Produknya bukan sahaja dilihat setanding dengan produk luar negara, malah nampak mewah dan berkualiti.

Reputasinya sangat tinggi di kalangan peminat berlian lebih-lebih lagi apabila menjadi syarikat barang kemas berlian pertama di Malaysia yang tersenarai dalam Bursa Malaysia. Habib Jewel pada awalnya bermula dengan nama M.A Habib Mohamed yang diasaskan pada tahun 1958 oleh Datuk Haji Habib Mohamed di Pitt Street, Pulau Pinang. Bermula dengan hanya sebagai satu perniagaan keluarga, beliau telah berjaya memikat hati para pelanggannya dengan sifatnya yang gemar mendahulukan kehendak pelanggan. Pembabitan beliau dalam bidang perniagaan barang kemas bermula secara kecil-kecilan sahaja.

Pada mulanya, beliau menyara keluarga hanya dengan bekerja dengan orang di kedai emas. Lama-kelamaan, beliau mula terfikir untuk memiliki perniagaan sendiri pula. Beliau memilih perniagaan barangan kemas kerana ianya mudah dan tidak perlu membanting tulang di tengah panas di samping nilai emas itu sendiri yang susah untuk mengalami susut nilai. Dengan bermodalkan RM3800, beliau memulakan perniagaan kedai emasnya sendiri. Beliau mengambil barang kemas daripada kedai pajak dan kemudiannya membersihkan barang tersebut hingga menjadi cantik lalu dijual kepada kedai emas yang lain, sama seperti pemborong.
Bertitik-tolak daripada itulah, perniagaan kecil-kecilannya yang sekadar untuk menyara hidup mula berkembang luas.

Ketika itu, beliau tidak mempunyai sebarang idola, dan hanya memikirkan untuk menjual barang kemas pada harga yang berpatutan sahaja mengikut aturan kehendaknya. Apabila perniagaannya dilihat semakin memberi keuntungan, beliau menambah dua lagi cawangan pada 1970-an, namun kedua-duanya kurang memberangsangkan. Disebabkan itu, kedua-dua cawangan tersebut ditutup dan beliau kemudiannya membuka cawangan baru di Semua House, Kuala Lumpur pada 1987.

Ketika itu, beliau memberanikan diri untuk menghasilkan sendiri produk barangan kemasnya. Beliau mengambil inspirasi daripada keinginan wanita yang sukakan sesuatu bercorak feminin dan floral tetapi berkualiti.
Legasi perusahaan Habib diteruskan oleh anak lelaki tunggalnya iaitu Datuk Meer Sadik yang merupakan graduan lepasan jurusan perniagaan. Selepas sahaja anaknya tamat belajar, beliau terus membawa anaknya untuk bekerja di bilik pameran Habib secara sambilan. Anaknya ketika itu amat meminati bidang pengiklanan dan telah mendapat banyak tawaran untuk menjadi model iklan.

Disebabkan minat anaknya itu, Habib mula memasarkan iklannya secara agresif di televisyen dan juga radio. Ketika itu, dapat diperhatikan yang semakin ramai pelanggan datang mengunjungi bilik pameran. Meer amat menggalakkan pengiklanan di media massa yang mana perkara itu tidak pernah dilakukan oleh bapanya sebelum ini. Sejak itu, Habib mula menyedari bahawa kombinasi didikan moden yang diterima anaknya ketika menuntut di universiti dan cara perniagaan tradisional yang diamalkannya selama ini menjadi kombinasi yang bermanfaat dalam membangunkan Habib Jewel.

Namun, untuk mengekalkan Habib Jewel bukan satu perkara yang mudah. Kos selalu menjadi masalah utama dalam setiap perniagaan. Perkara tersebut juga terpaksa dihadapi Habib dan beliau berusaha untuk menampung kos tersebut dengan melakukan pelbagai pekerjaan lain seperti membuka kedai bunga dan menjual serbuk kopi.
Datuk Meer Sadik terus menjadi harapan tunggal bapanya untuk menerajui Habib Jewel ekoran anaknya yang lain kesemuanya perempuan dan ada yang mengikut suami ke luar negara. Di samping itu, Meer juga merupakan ahli gemologi terlatih daripada Gemological Institute of America dan juga pemegang ijazah pengurusan perniagaan, dan ini menjadi asas kukuh untuk beliau memajukan Habib Jewel.

Meer yang kini memegang posisi Pengarah Urusan dibantu oleh isteri tercintanya, Datin Zarida Noordin telah melakukan banyak perubahan terhadap Habib Jewel. Mereka mempergiatkan promosi sama ada di media massa dan cetak hingga mencecah ratusan ribu ringgit. Jika dilihat pada mata kasar, promosi sebegitu agak membazir, namun jika dilihat untuk jangka masa panjang, ianya merupakan satu strategi yang cukup berbaloi.

Kerja keras mereka berdua tidak terhenti setakat itu sahaja, mereka juga giat dalam menambah jumlah cawangan Habib Jewel di seluruh Malaysia demi memenuhi permintaan pelanggan. Dengan usaha yang tiada henti dan berterusan itu melayakkan Habib Jewel memenangi beberapa anugerah berprestij seperti ‘Reader’s Digest Trusted Brand Award’ untuk beberapa tahun.

Kejayaan yang dikecapi oleh Habib Jewel dalam bidang perniagaan barangan kemas boleh dijadikan motivasi untuk usahawan kecil lain yang baru bertapak untuk terus maju ke hadapan. Kunci untuk setiap kejayaan adalah kerja keras dan kejujuran dalam setiap perbuatan yang dilakukan. Walaupun sudah stabil dan mempunyai nama besar di Malaysia, Habib Jewel tetap seperti ketika di awal penubuhannya dahulu, bukan sekadar menjual, tetapi memberikan rundingan terbaik kepada pelanggan.

Hal inilah yang membuatkan pelanggan setia kepada mereka kerana yakin dengan kualiti dan perkhidmatan yang diberikan oleh mereka. Tambah manis lagi, Habib Jewel telah menjadi syarikat barangan kemas pertama di Malaysia yang tersenarai di papan kedua Bursa Malaysia, dan pada 2002, syarikat induknya, Habib Corp Bhd berpindah pula ke papan utama.

4)  Puan Rozita Ibrahim (Sendayu Tinggi)



Sesungguhnya, menjadi seorang insan yang bergelar wanita bukanlah penghalang untuk seseorang itu berjaya. Itulah yang dibuktikan oleh pengasas produk kosmetik Sendayu Tinggi, Puan Rozita Ibrahim. Berpegang kepada pepatah ‘hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat’, menjadikan wanita cekal ini mencabar dirinya untuk bekerja lebih kuat lagi bagi memperoleh pendapatan yang selesa. Sebelum bergelar usahawan yang berjaya dengan mempunyai empayar perniagaan yang mampu dibanggakan, beliau telah menempuh pelbagai peristiwa duka yang mewarnai perjalanan hidupnya.

Beliau tidak seperti wanita lain yang hanya mampu berserah kepada takdir dan nasib, tetapi bangkit melawan kemiskinan yang dihadapinya sehingga bergelar usahawan wanita berjaya. Sejarah hidupnya tidak seindah wanita lain. Pernah menjadi penoreh getah dan hidup dalam serba kekurangan sehingga terpaksa memberi bayinya air sirap bagi menggantikan susu menjadikan beliau lebih kental untuk meneruskan hidupnya. Kepayahan yang dihadapinya pernah meragut nyawa anaknya ekoran tidak mampu untuk mendapatkan rawatan terbaik.

Beliau menamatkan zaman gadisnya pada usia yang terlalu muda dengan lelaki pilihan keluarga, dan melalui perceraian yang menyakitkan. Dalam usia yang masih muda dan sudah berkahwin, membuatkan beliau tidak berpeluang untuk memikirkan soal kerjaya. Hidupnya banyak dihabiskan untuk keluarga di samping membantu suami menoreh, membekalkan makanan, dan menjalankan perniagaan runcit. Keputusannya untuk berpisah dengan lelaki pilihan keluarganya menyebabkan dia dipulaukan oleh keluarga tercinta. Lantas, dia mengambil keputusan untuk membawa diri ke ibu kota. Di sana, beliau membuat pelbagai jenis pekerjaan bagi menampung diri dan anak-anaknya.

Beliau bukan sahaja pernah bekerja sebagai operator pengeluaran, malah pernah menjadi penyambut tetamu dan pekerja syarikat jualan langsung. Di situlah beliau belajar untuk menjadi seorang wanita kental yang tidak bergantung harap kepada sesiapa. Kesusahan dan kepayahan dijadikan pembakar semangat untuk terus melangkah ke hadapan. Setelah mencuba pelbagai jenis pekerjaan, beliau bercadang untuk memulakan perniagaan. Barang kemas terpaksa digadaikan untuk dijadikan sebagai modal permulaan. Akhirnya, dengan bermodalkan RM400, beliau memulakan perniagaan dengan menghasilkan produk berformulasikan herba. Beliau sanggup menjalankan ujikaji produk terhadap dirinya sendiri dengan menggemukkan badannya sendiri sebanyak tiga kali dan akhirnya berjaya menurunkan berat badannnya semula.

Antara sebab utama mengapa Rozita memilih herba sebagai bahan utama di dalam produknya adalah disebabkan alam semulajadi merupakan benda yang paling hampir dengan dirinya sejak dari kecil lagi. Beliau juga mengakui pernah mengubati anak keduanya yang sakit dan lumpuh dengan hanya menggunakan tumbuhan hutan kerana tidak mampu untuk mendapatkan rawatan yang lebih sempurna. Setelah menjalankan tiga kali ujikaji dan hasilnya menampakkan kesan yang positif, beliau mula menjual produknya dari rumah ke rumah.

Sambutan menggalakkan yang diterima terhadap produknya mendorongnya untuk menubuhkan Sendayu Tinggi Enterprise pada awal tahun 2000. Beliau menyewa sebuah kedai kecil di Plaza Majlis Perbandaran Klang dan perniagaannya semakin berkembang seperti yang diharapkan. Sambutan terhadap produk pelangsingan badannya amat menggalakkan ekoran permintaan yang tinggi daripada pengguna Malaysia yang gemar menggunakan produk warisan nenek moyang berasaskan herba.

Rozita yang amat mengagumi tokoh usahawan Lim Goh Tong dan Boon Siew Honda tidak menjadikan isu tidak berpelajaran sebagai alasan untuk tidak berjaya. Setelah bertahun mengaharungi pahit getir dalam dunia perniagaan, akhirnya beliau memahat nama sebagai salah seorang saudagar produk kecantikan, Sendayu Tinggi. Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk meluaskan empayar perniagaannya dengan menubuhkan Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. dan mempunyai sembilan anak syarikat termasuk Sendayu Tinggi Corporation (M) Sdn. Bhd., Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn. Bhd. dan Sendayu Tinggi Cosmetics & Fragrances (M) Sdn. Bhd. Jumlah pengedar beliau kini sudah melebihi dari 2000 orang termasuk di Brunei dan Singapura. Beliau bukan sahaja menjual produk kecantikan malah gemar berkongsi pelbagai petua kecantikan dalam membina keyakinan diri untuk wanita.

Bagi beliau, anak-anak merupakan iltizam untuk beliau terus berjuang dalam meningkatkan pencapaian dirinya dan juga perniagaan. Pernah melalui pelbagai pengalaman buruk dalam hidup dan melakukan pelbagai jenis pekerjaan demi mencari nafkah untuk anak-anak membuatkan beliau untuk terus melangkah ke hadapan tanpa ingin menoleh ke belakang lagi. Janjinya kepada anak-anak adalah untuk menjadi ibu yang baik kerana tidak mahu anak-anaknya mengikut jejak langkah dirinya yang kurang mendapat limpahan kasih sayang. Namun, disebabkan pengalaman itulah, beliau sedar bahawa kasih sayanglah yang menjadi kunci kebahagiaan untuk selama-lamanya. Selepas berjaya menembusi pasaran produk herba tradisional di Malaysia, beliau seterusnya bercita-cita untuk membentuk usahawan wanita daripada golongan yang kurang bernasib baik dari segi peribadi mahupun pencapaian karier.


Hal ini mungkin tidak mustahil untuk dilakukan oleh beliau kerana kebanyakan jaringan Sendayu Tinggi dibimbing melalui roadshow yang dijalankan oleh beliau dalam bentuk motivasi. Di situlah beliau sentiasa mengingatkan para pengedar produknya agar tidak lupa diri dan sentiasa membantu orang lain yang lebih memerlukan. Jika kita lihat diri kita susah hari ini, kita perlu ingat ada yang lebih susah daripada kita dan jadikan kesusahan itu titik permulaan untuk kejayaan di masa hadapan. Beliau juga menganggap kecantikan luaran sahaja tidak mencukupi dan tidak menjamin apa-apa, tetapi jika kecantikan luaran itu disertakan dengan kecantikan dalaman yakni budi pekerti yang mulia, diri seorang wanita itu akan menjadi lebih sempurna.











1 comment:

  1. tokoh-tokoh usahawan tu mmg sangat hebat. kita patut jadikan mereka sebagai idola untuk berjaya dalam dunia perniagaan.

    thanx for sharing...

    www.sayapgold.blogspot.com

    ReplyDelete